Salam.
Tunduklah kepada Allah,
Jauhi taghut!
Sekarang saya sudah berada jauh dari keluarga. Ya, hampir 800 kilometer dari kampung halaman. Merantaunya saya di negeri orang ini, InsyaAllah untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Perjuangan yang tidak tahu bila penyudahnya, tetapi diakhir jalan ini dijanjikan kemenangan yang pasti!
Moga Allah tetapkan hati ini untuk mengekalkan niat saya yang sebenar dalam menempuh hari-hari berliku disini.
Perkataan KERAMAT!
Sebenarnya, saya ingin membawa suatu perkongsian kepada pembaca sekalian. Yang mana perkongsian kali ini hanyalah berbentuk persoalan dalam diri. Saya nak sebutkan disini beberapa perkataan yang sering diungkap oleh sahabat-sahabiah saya, termasuk juga diri saya. Antara perkataan tersebut ialah:
1. Perjuangan
2. Pengorbanan
3. Jihad
4. Ukhwah
5. Wala
6. Istiqamah
7. Qiadah & Jundiah
8. Dakwah
9. Amal Jamaie
10. Istiqamah
Mudahnya untuk menyebut, sememangnya mudah. Acap kali disebut oleh mereka-mereka yang bermulut manis. Tapi...
Kenapa ianya KERAMAT?
Ya! sememangnya perkataan-perkataan itu begitu KERAMAT bagi saya.
Mungkin ada yang bertanya,
"kenapa anta kata perkataan ini keramat?"
Jawapan saya mudah, kerana perkataan ini akan menuntut penyebutnya agar melaksanakannya. Nilaian peribadi penyebut perkataan ini juga akan berdasarkan apa yang diperlakukannya selepas menyebut perkataan itu.
Begitu juga saya, saya juga kerap menilai seseorang itu berdasarkan apa yang diungkapkanya. Terutamanya bila seseorang itu menyebut salah satu dari perkataan KERAMAT ini. Penyanjungan dan penghinaan juga akan diberikan berdasarkan tindakan yang akan dilakukan selepas menyebut perkataan KERAMAT itu.
Sebab itu saya cukup takut bila ingin menyebut perkataan-perkataan ini ketika bersama-sama dengan sahabat/sahabiah. Kadang-kadang bila menyebut perkataan-perkataan KERAMAT ini, hati menjadi bergetar. Takut tidak mampu melaksanakan seperti mana yang dikehendaki dalam setiap perkataan KERAMAT yang disebut.
Benarkah kita ini pejuang sebenar?
Soalan ini lagi lah dasyat bagi saya. Terkelu ingin menjawab. Sebab itu sebelum sahabat/sahabiah bertanya kepada saya, lebih baik saya bertanya kepada anda dahulu. Jadi, apa jawapan anda?
Benarkah anda seorang perjuang sebenar?
Bagi saya, pejuang ialah orang yang bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri.
Tapi, saya merasakan diri saya sememangnya bukan dari golongan itu. Tak pernah dalam sejarah hidup saya, saya menginfakkan sepenuhnya diri saya dalam jalan perjuangan. Kenapa ya?
Kerana saya sememangnya manusia yang tidak mempunyai kualiti seorang pejuang sebenar.
KERENAH yang bertentang dengan perkataan KERAMAT!
Ya, seperti yang disebut diatas adalah benar. Dalam jalan perjuangan, karenah orang yang menggelarkan diri mereka pejuang sememangnya membantutkan nilai sebenar seorang 'pejuang sejati'. Saya tidak mengatakan bahawa karenah saya benar dan baik, sama sahaja. Nama pun manusia.
Pelbagai karenah yang boleh kita lihat dalam jalan perjuangan ini. Kadang sehingga membuatkan kita meluat dengan karenah mereka. Dan adakalanya juga membuatkan kita mentertawakan kerana tidak tahan lagi melihat kebodohan mereka didalam karenah mereka walaupun mereka merasakan mereka itu benar dari yang lain.
Mari kita melihat kerenah-kerenah yang telah kita lakukan sepanjang kita berada dalam jalan perjuangan ini.
1. Kita sering sebut 'perjuangan'. Tetapi bila di alam perjuangan sebenar, kita pula melarikan diri dalam senyap. Hanya timbul dalam keramaian saja, tetapi bila berada dalam kelompok sedikit, entah hilang kemana.
2. Kita sering sebut "pengorbanan'. Dan jangan lupa, kita juga sering sebut, "ana dah banyak berkorban ni.". Sungguh! kita sebenarnya bukan melakukan pengorbanan tetapi melakukan perkara dilaknat. Mengungkap seseolah kita telah berkorban dan tidak perlu lagi melakukanya.
3. Kita sering sebut 'jihad'. Tetapi bila diajak berjihad (melakukan amal-amal islami), kita pula menolak.
"Maaf, ana tak boleh. Ana terlalu busy, ana kena siapkan slide untuk program hujung minggu ni...". Walhal kerja tersebut sekejap saja, tetapi sengaja tidak diselesaikan awal. Untuk apa? Untuk menjadikan satu modal untuk tidak berjihad. Maka sahabat yang mengajak itu terkontang-kanting dalam arena jihadnya. Habis masa, wang, peluh mahupun akademiknya terpancar keluar. Tapi, ganjaran syurga menantinya. Tetapi yang menipu dalam jalan perjuangan, laknat Allah bersama mereka.
4. Kita sering sebut 'ukhwah'. Ya, ukhwah kita hanya ketika berjumpa saja. Habis saja perjumpaan,
"gi mampos kau la...kau lah yang aku paling benci sekali, kau jugalah yang merosakkan hidup aku. Arahan atas dasar perjuangan konon. Celaka betul!"
Dalam soal lakonan, kita sememangnya hebat, cium pipi, cium dahi sehingga cium kaki. Peluk tu, tak payah cakap la...sampai tak mahu lepas, kalau boleh nak berpeluk hingga kiamat. Tapi dalam hati sangat-sangat BUSUK!
Itulah nilaian ukhwah kita...
5. Kita sering sebut 'Wala'. Tetapi tidak pula kita beramal dengan perkataan itu.
"Ana tak boleh ikut apa yang diputuskan sebab ana tak ada dalam perbincangan itu."
"Ana tak akan ikut, sebab ana rasa orang yang putuskan keputusan itu pun tak betul. Ana lebih baik dari diorang la."
Begitu hebat kita menentang apa yang disepakati syura', tetapi mengaku berada dalam saf perjuangan Islam. Kenapa kita tidak kata,
"Ana tak boleh ikut kerana ana bodoh!". Kan senang, orang pun boleh terima.
6. Kita menjadi hebat. Ya, kita menjadi hebat dan kelihatan hebat dalam setiap gerak kerja. Tetapi kita hanya boleh menjadi hebat bila seseorang memerhatikan kita. Seseorang yang kita minati. Tak kira lelaki mahupun perempuan, ia sama saja. Tetapi bila seseorang yang kita minati itu sudah berpunya mahupun tidak bekerja dengan kita, kita menjadi mandom dan lemah. Bila ditanya, kenapa tidak seperti dulu?
"Entah la, ana dah tak ada semangat...lagipun orang yang buat kerja dengan ana ni pemalas."
Mudah sungguh menyalahkan orang lain, sedangkan diri kita ini yang dalam perangkap kebodohan dunia.
Kerenah-kerenah yang saya kemukakan ini adalah diadaptasi dari kisah benar. Saya juga berada dalam golongan-golongan itu, saya akui.
Seluruh isi langit dan bumi melaknat kita
"Ya. Kamilah penolong-penolong agama-Mu". Lantas kita menyebut ayat tersebut didalam surah as-Sof. Sedangkan kita laksanakan dengan penuh dusta dan pembohongan. Cuba menipu Allah dengan amalan-amalan yang kononnya kita telah kerjakan. Sungguh! amalan itu juga yang akan dicampak ke muka kita. Mintalah ganjaran pada apa yang kamu sandarkan.
Allah dan malaikat mentertawakan kita atas kebodohan kita yang cuba menipu MEREKA.
Si, syaitan pula berguling-guling kerana dalam kegembiraan yang amat sangat. Strateginya berjaya!
Kebodohan dan pembohongan terus kita lakukan ketika berada dalam jalan perjuangan. Bukan menipu orang disekeliling, tetapi hakikatnya menipu diri sendiri sambil lambaian-lambaian syaitan yang semakin mendekati.
Allah tidak pernah kecewa dengan perangai atau kerenah kita ini. Dia Maha Agung, tidak langsung terjejas kehebatanNya tatkala kita berkerenah dengan mem'plastik'kan jalan perjuanganNya ini. Bahkan Allah hanya menunggu hari 'yaumul mahsyar', masa untuk memberi ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita kerjakan berlandaskan niat sebenar.
Mari sama-sama menginsafi diri
Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .
Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita seorang pejuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .
Selamat berjuang sahabat ku !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan