Ahad, 18 April 2010

Pemburu Umar!

Salam Perjuangan,

Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya. Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq.

Selepas memeluk Islam, Umar bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama Islam?. Pada hal kita berada di atas kebenaran."

Rasulullah SAW menjawab, "Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu mereka lakukan terhadap kita."

Umar berkata lagi, "Demi yang mengutus engkau dengan hak, aku berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan."

Umar Mencabar!

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama para sahabatnya menuju ke Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah bin Abdul Mutalib dan kedua dipimpin oleh Umar al Khattab. Ketika melihat kedatangan mereka kaum Quraisy berasa marah tetapi tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang tindak balas daripada Hamzah dan Umar. Sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran Al-faruq bererti pembeza di antara hak dengan batil kepada Umar al Khattab.

Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka meninggalkan kota Mekah secara bersembunyi kecuali Umar al Khattab. Dia berhijrah secara terang-terangan. Dia berkata kepada orang-orang Quraisy, "Aku akan meninggalkan Makkah berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang perjalanan aku!"
Tidak seorang pun yang berani menyahut cabaran Umar al Khattab. Itulah kekuatan dan keberanian yang dimiliki Umar al Khattab.

Kerasnya Umar

Umar al Khattab yang terkenal dengan sifat bengis, keras dan ganas, berubah setelah memeluk Islam. Keperibadiannya lebih cemerlang selepas dilantik menjadi khalifah.

“Janganlah kamu menyangka sifat kerasku berkekalan. Sejak awal ketika aku bersama Rasulullah SAW, aku selalu menjadi penjaga keamanan dan ketenteraman. Aku orang yang paling lemah di hadapan yang hak,” kata Umar al Khattab ketika dilantik menjadi khalifah.

Kehebatan Umar

Pada suatu hari, seorang utusan Kaisar menemuinya. Ketika itu Umar sedang tidur berbantalkan batu. Melihat hal itu, utusan Kaisar berkata kepadanya: “Wahai Umar, sungguh anda berlaku adil. Oleh kerana itu anda dapat tidur dengan nyenyak dan aman.”

Abdullah Ibnu Mas’ud berkata: “KeIslaman Umar adalah perintis jalan. Hijrahnya adalah kemenangan, sedangkan kepemimpinannya adalah rahmat."

Setelah Palestin dikuasai kaum Muslimin, Umar al Khattab ke Baitulmaqdis untuk menerima kunci kota daripada penguasa. Pada waktu itu, Umar hanya mengenakan pakaian biasa dan berjalan kaki sambil menuntun sendiri kudanya.Penduduk Baitulmaqdis termasuk rahib dan pendeta berdiri berderet di sepanjang jalan untuk menyaksikan Khalifah Amirul Mukminin.Tetapi alangkah terkejut dan hairannya mereka menyaksikan Umar dalam keadaan amat bersahaja. Mereka sama sekali tidak menyangka orang yang sedang mereka lihat itu adalah Amirul Mukminin.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku mempunyai dua penasihat dari langit dan dua penasihat dari bumi. Dari langit ialah Jibril dan Mikail, dari bumi Abu Bakar dan Umar."

Dalam hadis lain Nabi bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari apabila berjumpa dengan Umar.”

Doa Umar

Dia selalu berdoa: “Ya, Allah, seperti Engkau tahu, aku ini berwatak keras. Oleh kerana itu lunakkanlah aku. Aku ini lemah, ya Allah, maka kuatkanlah aku. Aku ini kikir, maka jadikanlah aku hamba-Mu yang pengasih, pemurah dan dermawan.”

Ketika berlaku kemarau panjang Umar berdoa: “Ya, Allah? janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.”

Selepas usiaku makin tua, dia berdoa: “Ya Allah, usiaku makin tua, kekuatanku makin surut, rakyatku makin menyebar luas, maka wafatkanlah aku tanpa mensia-siakan dan melalaikan tanggungjawabku.”

Setelah memerintah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Khalifah Umar al Khattab meninggal dunia setelah berjaya menundukkan kuasa Rom dan Parsi serta berjaya membuat pembaharuan terhadap pemerintahan Islam.

Hadith tentang Umar

1. Semasa tidur, aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat seorang perempuan sedang berwudhuk dekat sebuah istana. Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk Umar” Hadith riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)

2. Sesungguhnya Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran. Hadith riwayat At-Turmizi

3. Sekiranya selepas aku ada nabi, sudah pasti Umarlah orangnya. Hadith riwayat At-Turmizi

4. Sesungguhnya aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar. Hadith riwayat At-Turmizi

5. Umar cahaya bagi penduduk Syurga.

6. Semua malaikat di langit menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar

7. Sesungguhnya ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai (kerana kebaikannya) , jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya. Hadith riwayat Bukhari.

8. Tidak ada sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh Umar, nescaya turunlah al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar. (Kata-kata Abdullah bin Umar)

Ulas...
Sedang berusaha menjadi seorang pemburu Umar yang sentiasa memburu teladan dan aksi Umar al-Khattab sepanjang kehidupan beliau...
Layakkah diri ini menjadi pemburu Umar?
Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan