Ahad, 27 Jun 2010

Kisah wanita yang bernama Zulaikha

Salam.

Mungkin ramai yang sudah tahu mengenai kisah wanita bernama Zulaikha, dan sudah tentu ramai juga yang jelik dengan perangai wanita itu. Seorang wanita yang menggoda seorang jejaka tampan sehingga dapat memerangkap jejaka berkenaan untuk melakukan zina. Akhirnya sekali, jejaka tampan tersebut pula disumbat kedalam tahanan walaupun terbukti dia tidak bersalah. Ya, memang ramai ketahui kisah ini.

Tetapi, ramai kah yang tahu cerita selepas jejaka tampan itu keluar dari penjara dan bertemu semula dengan wanita yang Zulaikha?
Pada entri kali ini, kisah inilah yang ingin saya kongsikan bersama pembaca yang sudi menjenguk blog saya ini.

..........

Zulaikha berubah kepada tunduk kepada Allah

Akhirnya isteri kepada perdana menteri Mesir (Zulaikha) itu kembali kepada naluri kebenaran hakikinya, dia telah kembalikan dirinya ke jalan kebenaran dan mengakui kekhilafan dirinya itu. Beliau berazam untuk menyerahkan seluruh kehidupannya kepada yang Al-Haq, disitu beliau bertemu cinta sejati yang hakiki. Beliau juga berterima kasih kepada Yusuf AS kerana telah memberi pengajaran jiwa yang sangat berharga bagi hidup dan kehidupannya.

Munajat seorang wanita

Sungguhpun beliau telah bertemu pemilik hatinya yang sebenar tetapi beliau tidak dapat melupakan kisah cinta beliau terhadap Yusuf AS. Lumrah dan fitrah seorang manusia, memang sengaja Allah ciptakan kita sebegini rupa. Beliau sering berdoa dalam munajat-munajat beliau:

"Wahai Tuhanku, kini diriku tiada lagi harta, kedudukan dan kecantikan. Diriku sebatang kara, tua, hina, dina dan papa. Engkau telah uji diriku dengan rasa cinta kepada Yusuf. Ya Allah, aku tiada kuasa menahan cintaku kepada Yusuf. Maka sambungkanlah cintaku kepada Yusuf. Jika Engkau tidak berkenan, maka gantikanlah rasa cintaku kepada Yusuf ini kepada cinta kepada-MU. Agar segenap rasa cintaku hanya untuk-Mu. Ya Tuhanku..."

Para malaikat yang mendengar doa dan rintihan Zulaikha itu, terharu dan bersimpati kepadanya. Mereka juga memohon doa kepada Allah agar doa Zulaikha diterima Allah. Maka akhirnya Allah berkata kepada malaikat-Nya:
"Wahai para malaikat, telah tiba saanya menolong dirinya..."

Dipertemukan dengan Yusuf AS

Ditakdirkan Allah, Yusuf telah digerakkan hati oleh Allah untuk melalui suatu lorong. Ternyata dilorong itulah terletaknya rumah Zulaikha. Rumah yang menjadi kediamannya setelah meninggalkan istana Mesir. Zulaikha yang berada diluar rumah terlihat seorang lelaki berjalan menuju di lorong rumahnya. Ternyata lelaki itu adalah Yusuf, lelaki yang telah mencuri hatinya ketika dahulu. Cintanya berbunga kembali.

Lantas daripada itu, Zulaikha terus menegur Yusuf. Pada awalnya Yusuf tidak mengenali wanita tua yang menegurnya itu. Akhirnya wanita itu mengaku bahawa dia adalah wanita yang bernama Zulaikha. Wanita yang pernah menimbulkan fitnah terhadap dirinya. Ya, Zulaikha bukan saja berubah dari sudut rohani tetapi juga fizikal. Beliau sudah tua, kecantikan di waktu mudanya dulu juga telah lesap bersama usia muda yang meninggalkannya itu.

"Apakah engkau masih mencintai aku", tanya Yusuf AS.

"Ya, rasa cintaku tetap seperti dulu. Bahkan selalu bertambah sejalan dengan bertambahnya hari-hari yang aku lalui.", jawab Zulaikha.

"Apakah yang engkau mahukan inginkan disaat ini?", tanya Yusuf AS kembali.

"Aku mahukan 3 perkara. Yang pertama kecantikan-ku dahulu. Yang kedua harta dan yang terakhir jalinan pernikahan dengan engkau wahai Yusuf.", jawab Zulaikha.

Mendengar jawapan dari Zulaikha itu, Yusuf terus meninggalkan wanita itu keseorangan.

Lamaran dari Kerajaan langit dan bumi

Setelah itu, Allah utuskan Jibrail untuk menyampaikan suatu berita kepada Yusuf AS.

"Ketahuilah Yusuf, Sesungguhnya Allah sendiri telah melamarnya (Zulaikha) untukmu. Para malaikat menjadi saksi pertunanganmu, para bidadari juga akan menjadi penggembira pernikahanmu ini." berkata Jibrail.

"Wahai Jibrail, tidakkah engkau tahu bahawa Zulaikha itu sudah tua dan tidak lagi cantik seperti dulu?", tanya Yusuf.

"Ya Yusuf, bukankah Allah itu berkuasa atas segala sesuatu. 'Sesungguhnya Tuhanmu Maha Perlaksana terhadap apa yang Dia kehendaki' (Hud:107)", jawab Jibrail.

Dengan kekuasaan Allah yang Maha Besar, Zulaikha dianugerahkan kecantikan dan kejelitaan. Beliau tampak muda dan seperti gadis yang berusia belasan tahun, bahkan lebih cantik daripada zaman mudanya dulu. Allah juga telah mencurahkan rasa kasih dan cinta kepada Yusuf. Sungguh wahai sahabat-sahabat, Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Akhinya Zulaikha bersam Yusuf AS

Selepas pernikahan Yusuf dan Zulaikha, Yusuf sering menagih cinta dari Zulaikha. Tetapi keadaan menjadi terbalik. Allah Maha membolak-balikkan setiap hati manusia. Zulaikha pula yang menjual mahal, sepenuh masanya di habiskan untuk beribadat kepada Allah. Disaat Yusuf menginginkan Zulaikha, ketika itulah isterinya sedang kusyuk beribadat. Selepas habis ibadat tersebut, diteruskan pula dengan ibadat yang lain pula. Yusuf tidak dapat bertahan lagi, lalu berkata:

"Wahai Zulaikha, bukankah engkau dulu amat menyintai diriku? Engkau menggodaku sehinggakan bajuku telah koyak?", tanya Yusuf.

"Ya, dulu memang aku ghairah melihatmu sehinggakan aku telah mengoyakkan bajumu. Tetapi itu dulu, sekarang cintaku hanya untuk pecipta engkau dan aku, Allahurobbi. Hatiku hanyalah untuk Allah", jawab Zulaikha.

Yusuf begitu merayu-rayu kepada isterinya itu agar memenuhi permintaannya, namun Zulaikha menolak. Dia berdiri dan meninggalkan suaminya untuk melanjutkan ibadatnya. Yusuf mengejar Zulaikha dan berusaha menangkap tubuh isterinya itu sehingga baju Zulaikha terkoyak.

Melihat kejadian itu, Jibrail turun dan bertemu Yusuf AS.
"Wahai Yusuf baju dengan baju.Kepedihan Zulaikha terbalas dengan kepedihanmu. Maha Suci Allah. Tuhan pengubah situasi. Baju dengan baju", kata Jibrail.

Begitulah sebuah kisah cinta agung diantara seorang wanita, jejaka tampan dan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

..........

Allah Maha Besar dan berkuasa atas segala sesuatu. Allah telah menukarkan peribadi Zulaikha dari wanita yang serendah-rendah darjat kepada wanita setinggi-tinggi darjat. Saya harap perkongsian kali ini dapat memberi sedikit input kepada para pembaca yang sudi melayari blog saya ini. Kepada yang memiliki nama Zulaikha, janganlah terasa rendah diri dengan nama ini. Kerana Allah pernah melamar manusia yang memiliki nama tersebut, begitu nilaian taqwa hambaNya itu. Moga kita dapat mengambil ikhtibar dan ibrah dari kisah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan