Selasa, 10 Ogos 2010

Ibrah peristiwa Mutah

Salam

Perang Mutah



Perang Mu'tah (bahasa Arab: معركة مؤتة , غزوة مؤتة‎) berlaku pada sekitar tahun 629M ketika di akhir kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Ketika ini baginda menghantar tentera seramai 3,000 orang untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 200,000 orang tentera.

Tujuan baginda menghantar tentera Islam kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan seorang utusan baginda ke wilayah kerajaan Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke wilayah jajahan Rom.

Ketika ini, baginda melantik tiga orang panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima, Ja'afar ibn Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja'afar sekiranya Ja'afar terkorban.

Pertempuran berlaku di Karak di mana pada hari ini terletak di dalam negara Jordan. Di dalam peperangan ini, ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Nabi terkorban. Apabila kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera Islam ketika itu.

Setelah beberapa ketika, Thabit mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam daripada diasak hebat oleh tentera Rom.

Dengan strategi pertukaran yang dibuat dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh.

Dialog-dialog semasa perang Mutah

1. "sekiranya Zaid Bin Harisah terbunuh ketika memimpim peperangan itu, Saidina Jaafar hendaklah mengambil tempat sebagai gantinya. Sekiranya Saidina Jaafar terbunuh juga, tempatnya hendaklah deganti dengan Abdullah Bin Rawahah. Jika dia juga terbunuh maka terserahlah kepada kaum muslimin untuk melatik penggantinya.".Rasulullah

2. Ketika tentera Islam tiba di medan perang, terbentang barisan-barisan tentera musuh (Rom) dengan jumlah 70 kali ganda berbanding jumlah tentera Islam. Ketakutan dan kegerunan mula menguasai diri mereka, lalu bangkit seorang sahabat memberi taujihad perang;

"wahai kaumku, demi Allah, sesungguhnya perkara yang kamu bimbangi itu, sebenarnya itulah perkara yang kita cari selama ini. Seseungguhnya kita berperang dengan musuh selama ini bukan kerana jumlah tentera kita lebih ramai daripada musuh.

Bukan juga kerana senjata perang kita lebih sempurna, ataupun kerana bekalan makan minum kita lebih banyak. sebaliknya kita berperang semata-mata kerana Allah SWT.

Oleh itu,marilah kita mara ke hadapan. Kerana di hadapan kita, Allah telah sediakan satu dari dua pilihan yang terbaik, iaitu sama ada kita mencapai kemenangan menewaskan musuh ataupun mati shahid."


3. Didalam perang ini, panglima pertama tentera Islam iaitu Saidina Zaid bin Harithah telah syahid. Lalu mentaati seruan Rasulullah, maka panji Islam diserah kepada Saidina Jaafar bin Abdul Mutallib. Seraya dia berkata;

"alangkah senang dalam hati ini apabila terkenang pada taman syurga. Alangkah indahnya apabila diri ini semakin menghampiri taman yang indah itu. Taman yang amat selesa untuk dihuni, dengan kejernihan air yang menyegarkan apabila meminumnya.

Dan bangsa Rom, biarkan dengan keangkuhan Romnya. Hampir benar azab menimpa kaum yang durjana itu. Manusia kafir yang keturunannya adalah generasi zina. Menjadi kewajipan ke atasku untuk membunuhnya
."

Semangat juang Saidina Jaafar

Setelah kesyahidan Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Talib terus gegas memegang panji Islam. Beliau terus terjun dari kuda dan berlawan di atas tanah. Dalam perlawanan yang hebat itu, tangan kanan beliau yang sedang memegang panji Islam telah dicantas oleh oleh tentera Rom. Lantas panji Islam yang dipegang beliau disambut dengan tangan kiri. Beliau tidak terus mengalah, malah makin mengasak musuh-musuh Islam. Kemaraan beliau terus ditentangi oleh pihak musuh, lalu tangan kiri beliau yang panji Islam tersebut dicantas oleh tentera musuh. Maka hilanglah tangan kiri dan kanan beliau. Dengan semangat juang beliau yang begitu kental, panji Islan tersebut disambut dengan mulut. Setelah itu, beliau terus dibunuh dan gugur syahid dalam pertempuran tersebut.

Berita kesyahidan beliau begitu memilukan Rasulullah. Dalam keadaan sedih, Rasulullah menyampaikan berita gembira kepada para sahabat. Kata baginda;
Allah akan mengantikan tangan Jaafar dengan sayap. Beliau dapat terbang mengelilingi syurga.

Allah telah mengantikan dua tangan beliau yang putus itu dengan dua sayap yang memboleh beliau berterbangan di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang beliau mahu, kerana itu beliau dikenali sebagai Jadfar al-Tayyar dan Jaafar zul al-Janahain.

Ibrah peristiwa Mutah

Sebenarnya masih banyak lagi kisah-kisah yang menarik didalam perang Mutah ini. Cumanya saya fokuskan pada cerita Saidina Jaafar bin Abi Talib. Antara pedoman yang boleh diambil dalam peristiwa ini ialah:
1. Kekentalan jiwa seorang pejuang Islam.
2. Keberanian melawan musuh Islam.
3. Kesakitan bukan penghalang dalam berjuang.
4. Maruah Islam lebih utama berbanding maruah diri.
5. Setiap pengorbanan punyai ganjaran.

Allah menguji beliau, Allah juga menguji kita.
Allah 'ambil' tangan beliau totally, Allah 'ambil' kudrat kita sedikit.
Allah janjikan ganjaran untuk kedua-duanya jika hambaNya berjaya melepasi ujian-ujian tersebut.

Ya Allah, aku ingin menjadi seperti Saidina Jaafar. Beliau masih mampu berjuang walaupun tubuhnya sedang dalam kemudharatan. Tabahkan hati hambaMu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan