Jumaat, 31 Julai 2009

Pemergian Seorang Pemimpin Kawasan

Pagi tadi penulis dikejutkan dengan pertanyaan dari seorang senior, "eh, ADUN Permatang Pasir meninggal ke?". Untuk pengetahuan, kawasan Permatang Pasir berada bersebelahan dengan daerah tempat penulis tinggal. Lantaran dari itu, penulis terus menelefon ibu dikampung bertanyakan hal yang demikian. Ibu mengiyakan apa yang penulis tanyakan. Bermakna memang benarlah penulis telah kehilangan seorang pemimpin kawasan yang begitu penulis kagum.

Beliau meninggal kira-kira pukul 6.30 pagi tadi (31/07/2009). Pemimpin kawasan itu meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara setelah seminggu dimasukkan disitu. Seorang pemimpin jemaah islam negeri pulau pinang, Ustaz Salleh Man ketika memberitahu jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir. Penulis dimaklumkan, jenazah allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.

Pemimpin tersebut pernah ditaklifkan sebagai pemimpin jemaah islam negeri Pulau Pinang selama 11 tahun selepas kematian Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Sebelum menceburi dalam bidang siasah, beliau pernah berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977. Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983.

Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam. Menurut seorang pemimpin utama jemaah islam Malaysia, ""Allahyarham adalah seorang pemimpin yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting".

Sesungguhnya, kami telah kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, cukup baik, rapat dengan rakyat dan pemimpin yang memahami keadaan rakyat dibawahnya. Pemergian beliau di pagi subuh jumaat yang mulia ini seolah-olah menunjukkan bahawa perjuangan yang beliau terjun selama ini adalah benar dan diredhoi oleh Allah...

Pemimpin tersebut ialah Dato' Hamdan Abdul Rahman. Wakil Rakyat DUN Permatang Pasir.



Al-Fatihah...

-aku merinduimu ya ustaz...-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan