Sabtu, 18 Julai 2009

Kasihmu sampai ke syurga

Merenung seketika gambar ini mengingatkan penulis kepada 2 insan yg paling penulis kasihi dan sayangi. Mereka ialah Abdul Rahman bin Che Mat dan Zuraini binti Othman. 2 insan yang paling banyak berjasa kepada penulis. Mereka inilah yang mendidik penulis menjadi insan yang berguna & menyemarakkan semangat penulis untuk bersama dalam perjuangan agama yang mulia ini.

Teringat diwaktu penulis dizaman kanak-kanak, pernah suatu ketika penulis berkelahi dengan abang penulis. Berkejar-kejaran kami berdua, saling tumbuk menumbuk dan tendang menendang. Biasalah budak lelaki, lasak sikit. Puas mak penulis leraikan pertelingkahan antara kami berdua, sehinggakan mak menangis-nangis kerana kami. Tapi waktu tu tak terasa bersalah pun, yang penting sekali dapat balas dendam dengan abang.

Petang itu juga abah penulis pulang dari tempat kerja. Melihat mak yang sedang menangis, abah pun bertanya kepada mak apa yang berlaku. Beberapa saat selepas itu, kami berdua dipanggil oleh abah. Dengan ditangannya memegang rotan, tanpa banyak soal satu libasan rotan tersebut melayang mengenai paha kami berdua. Tapi ayunan tersebut tidak terhenti disitu, lagi libasan rotan itu mengena kami berdua.

Meraung-raung kami berdua, teresak-esak dibuatnya. Melihat kejadian itu, mak terus bergegas ke laman rumah untuk melihat apa yang berlaku. Mak pun menyabarkan abah dari terus merotan kami apabila terlihat kesan-kesan libasan rotan yang begitu ketara sekali. Ibu terus mendapatkan kami berdua, dipeluknya kami berdua dengan kasih sayang sambil air matanya membasahi pipi. Lalu dimarahi pula abah kerana terlalu berkasar dengan anak-anak.

Malam itu, mak tidak bertegur sapa dan buat endah tak endah dengan abah dek kerana kejadian petang tadi. Abah pula seperti memahami perasaan mak ketika itu, lalu beliau mendiamkan diri. Di tengah malam diwaktu semua sedang tidur, tanpa disedari abah memasuki ke dalam bilik kami berdua. Penulis yang sedar ketika itu berpura-pura tidur. Abah menghampiri kami, lalu diselaknya kain selimut yang menutupi tubuh yang kerdil ini. Diusapnya paha penulis dengan minyak, lalu dibisik kepada telinga penulis, "tu la, lain kali jgn ketegaq sangat. kan dah kena tibai dengan abah. nanti jangan nakai-nakai lagi no..."

Abah...Mak...
ananda merindui kalian berdua.

Khamis, 14 Mei 2009

Assalamualaikum


Assalamualaikum,
"tak kenal maka tak cinta"
suatu ungkapan yang sering dimainkan kepada seseorang yang baru dikenalinya. Ungkapan ini juga acap kali digunakan oleh sang lelaki dan wanita untuk saling kenal-mengenali (chewah chewah..).

Penulis berasal daripada keluarga yang sederhana. Dibesarkan di satu kampung yang terletak di utara tanah air, kampung Guar Perahu. Penulis juga ditarbiyah sejak kecil dengan suasana yang persekitarannya diliputi dengan bendang, tali air, bukit & permatang. Dengan tarbiyah yang dialami sejak kecil inilah yang mengungkit kerinduan dihati dengan suasana tersebut, mungkin disebabkan itu penulis memilih tajuk blog penulis ini yang boleh mengubat kerinduan dihati ketika diperantauan. "Coretan Dari Permatang @ Bendang".

Penulis anak kedua dari enam adik beradik. Ibu penulis seorang suri rumah manakala ayah penulis pula bekerja sebagai juruteknik syarikat Telekom Malaysia. Penulis suka bersukan dan bercita-cita menjadi jurutera suatu masa nanti.

Penulis menerima pendidikan awal di Tadika Kemas Guar Perahu. Kemudian bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu. Setelah tamat zaman persekolahan, penulis melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Akhirnya diterima untuk memasuki salah sebuah Universiti di selatan tanah air dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Elektrik dan Elektonik Komunikasi.

Rasanya cukup sekadar itu yang boleh penulis kongsikan bersama. InsyaAllah, kita akan sama kenal mengenali dari masa ke semasa...